Pada ketika itu, cukuplah bebas dari api neraka itu sebagai suatu keputusan yang sangat bermakna buat setiap hambaNya. Barangsiapa yang bebas dari api neraka akan dimasukkan ke syurga. Barangsiapa yang dimasukkan ke dalam syurga, maka dialah orang yang berjaya. Oleh yang demikian, di penghujung perjalanan, mendapat keputusan bebas dari api neraka itu adalah suatu keputusan yang sangat mengembirakan para hamba Allah s.w.t.. Maka, oleh sebab itulah, Allah s.w.t. membuat ilustrasi kecil pada bulan Ramadhan, di mana di akhir bulan tersebut, Allah s.w.t. menjanjikan pelepasan atau bebas dari api neraka. Ini kerana, kesudahan usia kita, kita sangat memerlukan pelepasan dari api nereka yang merupakan natijah dari rahmat dan keampunan Allah s.w.t..
Selagi usia masih berbaki dan kematian masih belum mengunjung tiba, maka hargailah perjalanan ini. Andai memilih untuk tidak menghargainya, bererti anda memilih untuk tidak menghargai diri sendiri. Kehidupan ini simbol hubungan kita dengan Allah s.w.t.. Berjalanlah menuju Allah s.w.t. dalam kehidupan kita, nescaya kita dapati Allah s.w.t. lebih lagi mendekati kita. Malah, tanpa Dia mendekati kita, siapalah kita untuk mendekatiNya.
Yang dikatakan kemuliaan insan itu adalah, orang-orang yang didekati (muqorrobin). Iaitu, orang-orang yang mendekati Allah s.w.t dengan ketaatan dalam masa yang sama melihat ketaatan yang dilakukan adalah anugerah Allah s.w.t. kepada dirinya kerana Allah s.w.t. sendiri memilihnya untuk mendekatiNya.
Bukan semua orang yang berjalan itu sampai. Namun, orang yang memang tidak memulakan langkah untuk berjalan memang pasti tidak sampai. Berbaik sangka kepada Allah s.w.t., lalu mulakan perjalanan dan teruslah berjalan sampai masa yang telah ditetapkan.
sedutan dari Raja Ahmad Mukhlis’s site – Suatu Perjalanan