
Dalam tahun 1971, beliau ke Sabah dan bertugas menjadi Pegawai Agama dan dalam tahun 1972, beliau kembali ke Semenanjung kerana dilantik menjadi Imam Masjid Negara yang disandangnya sehingga tahun 1975. Sebagai seorang yang berpengetahuan luas dalam ilmu-ilmu agama lagi berpengalaman, beliau telah dilantik menjadi Mufti Kerajaan Sabah untuk dua penggal iaitu 1975 - 1978 dan 1985 - 1989. Antara tahun 1978 sehingga 1985, beliau diberi penghormatan sebagai pakar rujuk di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Selain dari mengajar, Haji Said juga telah menghasilkan lebih daripada 20 buah buku agama yang membicaraan pelbagai aspek seperti fiqh, 'aqidah dan sebagainya. Antara karya beliau:-
1. Sinaran Fiqh;
2. Mengenal al-Quran;
3. Manasik Haji & Umrah;
4. Qanun Jenayah Syariah;
5. Sistem Kehakiman Dalam Perundangan Islam;
6. Soal - Jawab Nikah Kahwin;
7. Fiqh Mazhab Syafi`i & Pendapat Imam-Imam Mazhab;
8. Perbandingan 'Aqidah & Fahaman Umat Islam;
9. Minhaj Ilmu Fiqh.
Selain tulisan berbentuk buku, beliau telah juga menghasilkan 32 kertaskerja yang dibentangkan dalam pelbagai seminar di peringkat antarabangsa. Beliau juga telah menyumbang tidak sedikit artikel dalam majalah-majalah agama seperti al-Islam, Dakwah, Roh Islam, Sinaran al-Quran dan Tamaddun.
Haji Said terkenal sebagai seorang yang tegas menangani gejala ajaran sesat yang menyalahi pegangan Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang sebenar. Karya beliau "Perbandingan 'Aqidah & Fahaman Umat Islam" dihasilkannya untuk menjelaskan perbezaan firqah-firqah yang sesat seperti Syiah, Khawarij, Ibnu Taimiyyah dan sebagainya. Berhubung dengan fahaman Ibnu Taimiyyah, beliau menulis mengenai penyelewengannya secara khusus dalam Fasal ke-18, Fasal ke -19 dan Fasal ke-20. Mufti Haji Said adalah antara ulama yang tegas dalam pernyataannya bahawa fahaman Ibnu Taimiyyah adalah menyeleweng daripada Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Dalam muqaddimahnya bagi karya tersebut, beliau rahimahUllah menulis pada halaman ii, antara lain:-
Dalam sejarah telah tercatat bahawa umat Islam dari masa ke semasa hingga kini terdapat beberapa firqah `aqidah dan fahaman mereka yang berbeza dan bertentangan di antara satu firqah dengan firqah yang lain.
Perkara ini memang sudah menjadi suatu kenyataan yang tidak boleh dibantah dan ditolak, iaitu firqah-firqah Syiah, Khawarij, Mu'tazilah, Qadariyah, Jabariyah, Najaariyah, Musyabbihah (Mujasimah), Bahaiyah dan Ibnu Taimiyyah, kesemuanya firqah tersebut berlainan fahaman dan `aqidah mereka. Dan tidak sama juga fahaman `aqidah mereka dengan `aqidah Ahlus Sunnah wal Jama`ah.
Sungguhpun umat Islam di negara ini sejak dahulu lagi menganut fahaman dan `aqidah Ahlus Sunnah wal Jama`ah, tetapi kini mereka telah banyak diresapi oleh fahaman `aqidah-`aqidah yang berlawanan dan bertentangan dengan fahaman dan `aqidah Ahlus Sunnah wal Jama`ah, sehingga ada yang sudah dipengaruhi oleh fahaman dan `aqidah Syiah dan Mu'tazilah, bahkan ada pula yang telah terpengaruh dan mengikut fahaman dan `aqidah Ibnu Taimiyyah dan lain-lainnya.
Mufti Haji Said meninggalkan dunia yang fana ini pada tahun 2001 dalam usia 78 tahun dengan meninggalkan 8 orang anak serta ribuan anak murid. Sepanjang hayatnya, beliau tidak jemu-jemu menyumbangkan tenaga dan idea dalam memartabatkan Islam. Mudah-mudahan segala amalnya dinilai sebagai ibadah yang tulus dan rahmat Allah yang berkekalan dicucuri atas beliau....al-Fatihah.
No comments:
Post a Comment