Pages


Tuesday, December 23, 2008

Aku bukan musuh harta


AKU BUKAN MUSUH HARTA
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin - Mantan Mufti Perlis

Thursday, December 11, 2008

Khutbah Terakhir Rasulullah SAW

Bertempat di Padang Arafah, pada tahun ke 10 Hijrah ketika mengerjakan Hujjatul Wada’, Rasulullah SAW telah menyampaikan khutbahnya yang terakhir (Khutbah Wida’). Baginda bertolak ke Arafah dari Mina setelah naiknya matahari 9 Zulhijjah. Sebuah khemah didirikan untuk baginda dan baginda masuk serta berada di dalamnya sehingga tergelincir matahari (waktu zohor).
Selepas itu, baginda pun mengarahkan disiapkan untanya al-Qaswah, lalu menaikinya sehingga baginda tiba di Wadi Uranah. Di hadapan baginda, ribuan para sahabat mengelilingi baginda. Semuanya menanti penuh debar. Apakah ingin disampaikan baginda. Ramainya manusia yang berhimpun pada haji wida’ itu. Ada riwayat mengatakan jumlahnya mencecah 144,000 orang semuanya.

Baginda pun menyampaikan khutbahnya yang bersejarah:
“Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan, beristighfar dan bertaubat kepada-Nya. Kita berlindung dengan-Nya daripada kejahatan diri dan keburukan amalan kita. Sesiapa yang Allah berikan hidayat kepadanya, maka tidak ada siapa yang boleh menyesatkannya. Sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak ada siapa yang boleh memberikan hidayat kepadanya. Aku menyaksikan bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah yang Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya. Aku menyaksikan bahawa Muhammad adalah hamba dan rasul-Nya. Aku berpesan kepada kamu supaya mentaati-Nya. Aku membuka khutbahku ini dengan mukaddimah yang baik.

Wahai manusia! Sila dengar apa yang akan aku katakan ini. Aku tidak tahu apakah aku akan dapat bersama kamu semua lagi selepas tahun ini, di tempat ini selamanya.
1. Sesungguhnya darah kamu, harta benda kamu dan kehormatan diri kamu telah terpelihara (diharamkan) sebagaimana diharamkan hari ini, bulan ini dan bandar ini Makkah dan kawasan sekitarnya.
2. Sesiapa yang memegang amanah, maka dia hendaklah mengembalikan amanah tersebut kepada tuan punyanya.
3. Ingatlah! Segala amalan jahiliyyah telah berada di tapak kakimu (iaitu telah dihapuskan).
4. Tuntutan hutang darah di zaman jahiliyyah (sebelum Islam) telah diampunkan. Tuntutan darah pertama yang aku batalkan adalah darah Rabi’ah bin Al-Haris yang disusukan oleh Bani Saad kemudian telah dibunuh oleh Huzail.
5. Riba adalah haram dan aku memulakannya dengan membatalkan riba yang akan diterima oleh Abbas bin Abdul Mutalib. Sesungguhnya ia dihapuskan keseluruhannya.
6. Wahai manusia! Takutilah Allah SWT di dalam urusan yang berkaitan dengan wanita. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka sebagai amanah daripada Allah SWT dan mereka telah dihalalkan kepada kamu dengan kalimah Allah. Wajib ke atas mereka untuk menjaga kehormatan kamu dan menjaga diri daripada melakukan perbuatan buruk. Jika mereka lakukannya maka kamu berhak untuk menghukum mereka tetapi bukanlah dengan pukulan yang mencederakan. Jika isteri-isteri kamu setia dan jujur terhadapmu, maka wajib ke atas kamu menjaga makan pakai dengan baik.
7. Semua orang mukmin adalah bersaudara, oleh itu tidak halal bagi seorang muslim mengmbil harta orang lain kecuali setelah mendapat kebenaran daripada tuannya.
8. Jangan kamu kembali menjadi kafir selepas pemergianku, di mana sebahagian daripada kamu memerangi sebahagian yang lain. Aku telah tinggalkan untuk kamu suatu panduan, jika kamu berpegang teguh dengan ajarannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya; kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.
9. Wahai manusia! Sesungguhnya tidak ada lagi nabi selepasku dan tidak ada lagi umat selepas kamu. Maka aku menyeru agar kamu menyembah Allah SWT Tuhan kamu dan menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan serta mengeluarkan zakat hartamu dengan kerelaan. Dan kerjakanlah haji ke Rumah Suci Tuhanmu (kaabah), untuk itu kamu akan masuk syurga Tuhanmu.
10. Tuhan kamu adalah Esa, datuk kamu pula adalah satu, kamu semua berasal daripada Adam dan Adam telah dijadikan daripada tanah. Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah mereka yang paling bertaqwa kepada Allah. Tidak ada kelebihan bangsa Arab terhadap bangsa lain kecuali dengan taqwa.
11. Allah SWT telah menetapkan hak menerima pusaka kepada keluarga si mati, oleh itu tidak boleh membuat wasiat kepada penerima pusaka. Sesungguhnya laknat Allah ke atas sesiapa yang mengaku sebagai bapa kepada bukan bapanya yang sebenar, juga laknat dari para malaikat dan seluruh manusia.
12. Kemudian kamu akan disoal tentang aku, maka apa yang akan kamu jawab? Mereka menjawab, “Kami bersaksi bahawa tuan telah menyampaikan dan menyempurnakan risalahmu.” Baginda lalu mengangkat tangannya ke langit dan menurunkannya ke arah orang ramai sambil berkata, “Ya Allah! Saksikanlah.” Baginda Rasulullah mengucapkannya sebanyak tiga kali. Orang yang mengulang kembali ucapan Rasulullah SWT dengan kuatnya di Arafah ialah Rabi’ah bin Umaiyyah bin Khalaf ra.

Baginda berkhutbah di atas untanya al-Qaswah. Di sinilah turunnya wahyu mengenai kesempunaan agama Islam.
“Pada hari ini telah disempurnakan bagimu agamamu, dan telah kucukupkan nikmat-ku kepadamu, dan telah kuredhakan Islam itu menjadi agama untukmu. (Al-Maidah ayat 3)

Selepas baginda membacakan wahyu ini, para sahabat saling berpelukan kerana begitu gembira. Namun sayyidina Abu Bakar perasan al-Qaswah unta nabi menitiskan air mata dengan banyaknya. Beliau pun ikut menangis.
Sayyidian Umar bertanya apakah sebabnya lalu sayyidina Abu Bakar menjelaskan. Di sebalik berita gembira sempurnanya agama Islam, wahyu itu juga petanda khabar duka. Baginda pasti akan meninggalkan mereka kerana tugasnya sebagai Rasul sudahpun selesai. Mendengar itu sayyidina Umar pun menangis sama, begitu juga dengan para sahabat yang lain.

Sumber : http://ibnuabbas.wordpress.com/2007/12/24/khutbah-terakhir-rasulullah-sallallahu-alaihi-wasallam/

Tuesday, December 09, 2008

Wukuf beri ingatan nasib di padang Mahsyar


JUTAAN jemaah menuju ke Arafah untuk menyempurnakan rukun haji. - Gambar hiasan

Perhimpunan terbesar umat manusia di Arafah ibarat hari kebangkitan semula untuk diadili TIDAK ada amal ibadah dalam Islam yang sesemarak dan seramai wukuf di Arafah. Lebih tiga juta umat Islam seluruh pelosok dunia berhimpun pada satu masa, di satu tempat dengan satu tujuan, satu seragam dan satu amalan. Mereka akan memulakan rukun haji bersama selepas tergelincir matahari dengan solat Zuhur dan Asar jamak takdim, satu azan dan dua kali kamat sambil melantunkan doa kepada Allah SWT yang selesai sebelum terbenam matahari hari ini, 9 Zulhijjah 1429H bersamaan 7 Disember 2008.

Berasal daripada kata dasar 'wa-qa-fa' bererti diam, berdiri, wukuf di Arafah adalah satu daripada rukun haji paling utama kerana disebutkan dalam hadis al-hajju 'arafah yakni kesempurnaan haji berada dalam wukuf di Arafah. Tanah seluas 10,4 kilometer persegi dan arah Tenggara Masjidil Haram dengan jarak 22 kilometer itu dinamakan Arafah kerana beberapa sebab. Dinamakan demikian kerana Adam dan Hawa bertemu dan saling mengenal kembali, ta'aruf, pertama di sana selepas diturunkan ke bumi.

Dinamakan juga Arafah kerana di sana malaikat Jibril as mengajar, 'arrafa, Nabi Ibrahim as mengenai manasik haji. Selepas itu Jibril bertanya kepada Ibrahim: "Sudahkah engkau faham?" Dan dijawab oleh Ibrahim: "Ya, aku sudah faham," yakni araftu. Selain itu, Ibn Abbas berpendapat dinamakan Arafah kerana di sana manusia mengakui, i'tiraf-ya'tarifun, dosa dan kesalahannya. (Dr Muhammad Abdul Ghani, Tarikh Makkah al-Mukarramah)

Arafah disebut dalam al-Quran maksudnya: "Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang 'Arafah (menuju Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa, talbiah dan tasbih) di tempat Masy'ar al-Haram (di Muzdalifah)." (Surah al-Baqarah: 198) Di padang Arafahlah turun ayat terakhir al-Quran yang maksudnya: "Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu." (Surah al-Maidah: 3)

Arafah sebagai tempat wukuf ditetapkan oleh Baginda Rasulullah SAW dengan hadisnya bermaksud: "Aku wukuf di sini dan Arafah seluruhnya adalah tempat untuk melaksanakan wukuf." (Hadis riwayat Muslim)

Dengan berkumpulnya jutaan manusia di Arafah yang diiring dari semua penjuru dunia mengingatkan kepada kita kejadian pada kiamat iaitu hari dibangkitkan semua manusia daripada mati. Mereka dihimpunkan di padang Mahsyar untuk diadili Allah SWT.

Umat Islam mengimani hari kebangkitan daripada alam kubur selepas ditiup sangkakala kali ketiga. Allah membangkitkan mayat dalam kubur, maka bangkit semua manusia menghadap Tuhan seluruh alam tanpa alas kaki, telanjang dan tidak dikhitan (Hadis Bukhari dan Muslim); matahari dekat dengan mereka; antara mereka ada yang keringatnya bercucuran sampai ke mulut. Orang pertama dibangkitkan dari bumi ialah Nabi Muhammad SAW. (Hadis riwayat Ibnu Abi 'Ashim, Ibnu Hibban dan Abu Ya'la)

Pada hari besar itulah manusia keluar daripada kubur seperti belalang berterbangan datang dengan pantas kepada Penyeru itu. Semuanya terdiam tidak bergerak ketika ditebarkan catatan amal, maka terlihat semua yang tersembunyi, nampak segala yang tertutup dan terbuka keburukan yang tersimpan di dalam hati. Allah akan berbicara langsung dengan manusia pada hari itu; tidak ada penterjemah antara Allah dan mereka. Dalam kitab rujukan akidah, Syarh al-'Aqidah al-Tahawiyyah disebutkan: "Kita beriman kepada kebangkitan, pembalasan amal perbuatan pada hari kiamat, pemeriksaan, hisab, pembacaan rekod amal, pahala, seksa, al-sirat, timbangan, syurga, neraka, yang kedua-duanya sudah dicipta yang tidak akan musnah selama-lamanya dan tidak akan hancur." (hal. 404-05)

Mengenai dihidupkan kembali manusia selepas mati di padang Mahsyar, Allah menjelaskan dalam al-Quran maksudnya: "(Ingatlah) masa hari bumi ini diganti dengan yang lain, demikian juga langit; dan manusia semuanya keluar (dari kubur masing-masing) berhimpun mengadap Allah, Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa." (Surah Ibrahim: 48) Mengapa manusia dikeluarkan dari kubur mereka? Allah menjelaskan maksudnya: "(Keluar manusia dari kubur masing-masing itu ialah) kerana Allah akan membalas tiap-tiap seorang apa yang dia telah usahakan; sesungguhnya Allah amat cepat hitungan hisab-Nya." (Surah Ibrahim: 51) Hari kebangkitan manusia di padang Mahsyar amat dahsyat digambarkan al-Quran dengan ayat bermaksud: "Sesungguhnya hari pemutusan hukum itu, adalah satu masa yang ditentukan. Iaitu masa ditiup sangkakala, lalu kamu (bangkit hidup) serta datang berpuak-puak (ke Padang Mahsyar); dan (pada masa itu) langit dipecah belahkan sehingga setiap belahan menjadi ibarat pintu yang terbuka luas dan gunung-ganang – selepas dihancurkan - diterbangkan ke angkasa, lalu menjadilah ia bayangan semata-mata seperti riak sinaran panas di padang pasir." (Surah al-Naba: 17-20)

Pada masa itu manusia akan menuju tempatnya sama ada maksudnya: "Sesungguhnya neraka Jahannam disediakan untuk orang yang melampaui batas hukum Tuhan, sebagai tempat kembalinya. Mereka tinggal di dalam berkurun lamanya," (Surah al-Naba: 21-23). Mahupun maksudnya: "Sesungguhnya orang yang bertakwa, disediakan syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini. (Mereka akan beroleh) taman bunga dan kebun buah-buahan, terutama anggur dan perawan yang sebaya umurnya. Serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman. Mereka tidak mendengar di dalam syurga perkataan yang sia-sia dan tiada pula perkataan yang dusta; sebagai balasan daripada Tuhanmu iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikan-Nya." (Surah al-Naba: 31-36)

Jika jemaah haji yang berwukuf di padang Arafah pada hari ini dijanjikan untuk diampunkan dosa mereka oleh Allah SWT, bagaimana dengan kita yang belum memperoleh janji terbabit? Jika jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah pada saat ini bersungguh-sungguh dalam berdoa memohon keampunan Allah di tempat yang mulia, bagaimana kita yang tidak berada di sana? Jika jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah melihat dan membayangkan Padang Mahsyar selagi mereka hidup, bagaimana dengan kita yang tidak mengalaminya?

Jangan risau mahupun gelisah, wahai saudara! Jangan bersedih dan gundah gulana wahai, sahabat! Disebut dalam hadis Qudsi maksudnya: "Pada hari kiamat Allah berfirman: "Pada hari ini orang yang berkumpul (di Padang Mahsyar) akan mengetahui siapa yang termasuk dalam keluarga utama." Sahabat bertanya: "Siapakah ahli (keluarga utama itu, Ya Rasulullah?" Nabi SAW menjawab: "Mereka itu ialah keluarga majlis zikir di masjid." (Hadis riwayat Ahmad) Bersediakah anda?

Sumber : Ulul Albab oleh Abdurrahman Haqqi
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Agama/20081206225425/Article/

Sunday, December 07, 2008

Salam Aidiladha

Alangkah bahagianya insan
yang dapat mengorbankan jiwanya
kerana ALlah.
7/12/08 @ 10.32.10 mlm

Korbankanlah diri kamu dahulu...
sebelum kamu korbankan
binatang sembelihan.
7/12/08 @ 10.01.43 mlm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

BICARA AGAMA


Popular Posts


uwais al qarni…

engkau hanya seorang insan biasa
dari kalangan bani yaman
disisimu tiada punyai nama
pangkat darjat mahupun kedudukan

setianya umar ali menanti satu harapan
kerna mengharap pengampunan
seperti mana yang telah dikhabarkan
oleh utusan rasul junjungan

keadaanmu dipandang hina
kerna berpakaian serba kedhaifan
namun begitu kau sentiasa melemparkan
pandanganmu ketempat sujudmu

wahai uwais.. kekasih allah
sunyinya namamu di dunia
tetapi terkenal namamu disana
sehingga rasul menyintaimu

beruzlah dirimu dari manusia
kerna ingin mengabdikan padanya
bagimu merasa aman bersamanya
bagaikan alam adalah dirinya…

Ya Allah,
malam hanya terasa indah
apabila berbisik denganMU,
siang hanya terasa indah
apabila mentaatiMu.

Tiada kelazatan dunia
kecuali dengan menyebut namaMU,
Dan akhirat tidak terasa indah
kecuali dengan beroleh kemaafan dariMu.

Juga syurga tidak terasa indah
kecuali dapat melihat-MU

munajat Yahya bin Muaz Ar-Razi