Pages


Thursday, December 31, 2009

Semalam di Kuala Terengganu


Semalam di Kuala Terengganu
Hatiku tak jemu
Pandangannya di tepi pantai
Pandangan indah permai
Sungguh nikmat aku merasa
Hanya semalam saja
Esok hari aku kan pergi
Hingga berjumpa lagi...


Sesuatu perkara yang kita lakukan tetapi tidak disukai bukan bermakna kita melakukan kerja yang salah dan sesuatu perkara yang kita lakukan, kita disukai bukan bermakna kita melakukan kerja yang baik.

Monday, December 28, 2009

Mesej dari Belara 11

Hidup ini amat berharga
bagi yang tahu menilainya.
22/12/09 @ 11.55 PM

Ya Rabbi,
peritnya kematian,
tetapkan iman kami.
21/12/09 @ 11.30 PM

Apa yang berlaku,
semua dalam ilmuNYA.
apakan terdaya pada kita,
terserah padaNYA.
21/12/09 @ 11.21 PM

Kalaulah kita tahu
betapa indah bersamaNYA,
tentu kita tak sanggup berpisah
walau seketika cuma.
20/12/09 @ 10.53 PM

Wednesday, December 23, 2009

Ujian Dan Musibah

(ALLAH S.W.T Mahu Berkenalan Dengan Hamba HambaNYA)

Setiap manusia, pasti melalui suatu masa yang dikenali dengan MUSIBAH atau masa KESULITAN. Kehidupan seseorang manusia tidak terlepas dari kesusahan, kesulitan, musibah dan sebagainya. Kadang kala, ia menyebabkan seseorang putus-asa dan ada juga yang sampai sanggup untuk membunuh diri dan sebagainya, hasil dari kekecewaan yang menimpa mereka dari kesulitan yang dihadapi oleh mereka dalam kehidupan.

Namun, jika musibah dan kesulitan ditafsirkan dengan tafsiran yang sempurna, ianya tidak akan membuatkan seseorang putus-asa tetapi sebaliknya ia mampu memberi suatu kekuatan baru kepada seseorang, dalam menghadapi hari-hari yang mendatang.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya iman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.(Al-Ankabut: 2-3)

Berdasarkan ayat-ayat tersebut, didapati bahawa, seseorang yang mengaku beriman, pasti akan diuji oleh Allah s.w.t., sehingga terbukti samada seseorang itu benar-benar beriman atau berdusta dalam mengaku beriman. Dalam kitab-kitab hadis juga, banyak menukilkan tentang hadis-hadis yang menyebutkan tentang ujian Allah s.w.t. terhadap para hamba-Nya.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Golongan yang paling kuat diuji dengan bala adalah golongan para Nabi, kemudian golongan yang mengikuti mereka dan seterusnya".

Rasulullah s.a.w. juga bersabda:

"Sesungguhnya, jika Allah s.w.t. mencintai sesuatu kaum, maka mereka akan diuji. Andainya mereka redha dengan ujian tersebut, maka baginya keredhaan Allah s.w.t…"

Jika kita lihat dalam lipatan sejarah, kita dapati bahawa, Rasulullah s.a.w. yang merupakan manusia yang paling dikasihi Allah s.w.t. sendiri, diuji dengan pelbagai ujian, termasuklah dibaling dengan batu, dilempar dengan najis dan kotoran, dan sebagainya. Begitu juga dengan para Nabi yang lain, seperti Nabi Zakaria a.s., Nabi Yahya a.s., Nabi Ayub a.s., dan selain dari mereka.

Persoalannya, apakah rahsia di sebalik ujian-ujian Allah s.w.t. terhadap para kekasih-Nya?

Rahsia Umum di Sebalik Musibah dari Allah s.w.t.

Para sufi dan ahli makrifah telahpun menjelaskan kepada kita, hakikat sebenar di sebalik ujian-ujian dan musibah yang menimpa seseorang muslim. Secara umum nya, Allah s.w.t. menimpakan bala dan musibah kepada seseorang kerana tiga sebab, sesuai dengan jenis orang yang ditimpa musibah tersebut.

Pertama: Andainya Allah s.w.t. menimpakan musibah dan bala kepada golongan musuh Allah s.w.t., dan golongan yang bersikap sombong dengan Allah s.w.t., dari kalangan orang-orang kafir dan golongan fasiq, maka ia merupakan suatu bentuk azab dan siksaan dari Allah s.w.t. yang dikenakan kepada mereka di dunia lagi.

Kedua: Andainya Allah s.w.t. menurunkan musibah kepada orang-orang mu'min yang kurang beradab di hadapan Allah s.w.t., dengan melakukan pelbagai maksiat, maka ia merupakan peringatan buat mereka supaya mereka kembali kepada Allah s.w.t., dan kembali beradab di hadrat Ilahi s.w.t. dengan mengamalkan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Ia merupakan suatu kenikmatan dalam kesulitan.

Ketiga: Andainya Allah s.w.t. memberi musibah kepada golongan khawas (orang-orang soleh) atau golongan khawasul-khawas di kalangan hamba-Nya, yang sentiasa menjaga adab dengan Allah s.w.t., maka musibah tersebut merupakan pintu-pintu untuk meningkatkan darjat mereka di sisi Allah s.w.t., dengan kesabaran mereka.

Ujian dan Musibah dalam Kaca Mata Sufi

Adapun para sufi menegaskan bahawa, ujian dan musibah merupakan suatu "ta'aruf" atau perkenalan dari Allah s.w.t., di mana setiap kali Allah s.w.t. menguji seseorang hamba tersebut, bererti Dia memperkenalkan diri-Nya kepada para hamba-Nya disamping menilai bagaimana hamba tersebut memperkenalkan dirinya kepada-Nya.

Ujian dari Allah s.w.t. ada dua jenis iaitu:

Pertama: Ujian berbentuk Musibah. Ujian ini merupakan suatu bentuk kesusahan yang ditimpakan ke atas manusia seperti kematian, kehilangan, kemiskinan, kesakitan dan sebagianya.

Dalam bentuk ujian ini, Allah s.w.t. memperkenalkan diri-Nya dengan sifat-sifat jalal-Nya (sifat-sifat keagungan-Nya) di mana pada ketika itu, hamba-hamba-Nya akan mendapati bahawa, Allah s.w.t. Maha Berkuasa dan hanya kepada Allahlah, tempat mengadu segala masalah, kerana hanya Dialah yang Maha Membantu dan sebaik-baik Penolong. Dalam kondisi ini, seseorang hamba yang jujur dalam Ubudiyahnya (pengabdiannya) akan memperkenalkan dirinya kepada Allah s.w.t., sebagai seorang hamba-Nya yang sabar. Maka, ketika diuji dengan musibah, seseorang hamba dapat meningkatkan darjatnya di sisi Allah s.w.t. dengan kesabarannya, di mana setiap kali dia sabar dalam ujian, maka setingkat demi setingkat darjatnya semakin meningkat di sisi Allah s.w.t., di samping mendapat keredhaan Allah s.w.t. dengan izin-Nya.. Di samping itu juga, seseorang hamba yang diuji dengan musibah, perlu redho dengan setiap suratan dan ketentuan Allah s.w.t., yang menimpanya, dan sebagai balasan, Allah s.w.t. juga akan meredhai hamba-Nya yang redha dengan ketetapan-Nya, dengan izin Allah s.w.t..


Hamba yang diuji dengan musibah juga perlulah sentiasa merenung diri sendiri, dan bermuhasabah, kerana boleh jadi, musibah tersebut merupakan natijah dari dosa-dosa dan maksiat yang dikerjakannya, di samping bertaubat dari sebarang kesilapan dan dosa. Inilah adab seseorang hamba yang sentiasa merendahkan dirinya di hadapan Allah s.w.t.

Kedua: Ujian berbentuk Kesenangan. Allah s.w.t. juga turut menguji para hamba-Nya dengan nikmat kesenangan, seperti kekayaan, banyak zuriat, kedudukan, dan sebagainya.

Dalam ujian berbentuk kesenangan tersebut, Allah s.w.t. memperkenalkan diri-Nya kepada hama-hamba-Nya yang mendapat kesenangan tersebut, dengan sifat-sifat Jamal-Nya (sifat-sifat kecantikkan dan keindahan-Nya), di mana hamba-hamba-Nya akan dapati pada kondisi tersebut, bahawa mereka mempunyai Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mulia.

Adapun hamba-hamba yang menerima kesenangan pula, hendaklah baginya memperkenalkan diri mereka sebagai hamba-hamba yang bersyukur, kerana dalam keadaan kesenangan, kesyukuran merupakan pintu-pintu untuk meningkatkan darjatnya di sisi Allah s.w.t.. Mereka hendaklah sentiasa mengingati bahawa, setiap nikmat tersebut datang dari Allah s.w.t., dan tidak lupa diri, dengan menyangka bahawa, merekalah sebenarnya yang menyebabkan kesenangan tersebut, kerana ia merupakan sikap biadab di hadapan Allah s.w.t.


Hamba-hamba yang dianugerahkan nikmat hendaklah berterima kasih kepada Allah s.w.t., di samping tidak merasa bangga dengan apa yang diterimanya. Mereka juga perlulah mengingatkan diri mereka, bahawa, boleh jadi nikmat yang Allah s.w.t. berikan kepada mereka merupakan suatu istidraj (tipu daya yang menyebabkan seseorang lebih jauh dari Allah s.w.t.) supaya mereka sentiasa meminta ampun dari Allah s.w.t. dan bersikap merendah diri di hadapan Allah s.w.t.

Apabila seseorang hamba itu berterima kasih, maka Allah s.w.t. akan meningkatkan darjat dan kedudukannya di sisi-Nya, di samping menambahkan lagi kenikmatan-kenikmatan yang telahpun diperolehinya.

Kesimpulannya, seluruh yang berlaku dalam kehidupan manusia merupakan ujian dari Allah s.w.t., samada dalam bentuk kesenangan atau dalam bentuk musibah. Apa yang penting, seseorang hamba yang memahami rahsia di sebalik ujian tersebut, maka dia perlulah sentiasa beradab dengan Allah s.w.t., samada di waktu susah atau senang, dengan kesabaran dan kesyukuran, kerana ianya merupakan pintu-pintu untuk meningkatkan darjat seseorang hamba di sisi Allah s.w.t..

Saturday, December 19, 2009

Selamat Tinggal UPSR, PMR, SPM dan STAM...



SELAMAT TINGGAL ALAM PERSEKOLAHAN
Kak Long
2003 - Sek Men Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin
Kak Ngah
2004 - Sek Men Agama Persekutuan Kajang
Hassan
2006 - Sek Men Sains Sultan Mahmud
Husaen
2006 - Sek Men Agama Persekutuan Labu
Mohsein
2009 - Sek Men Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin
(SPM dan STAM)
Adik
2009 - Sek Men Agama Persekutuan Labu
(16/12/2009)

Thursday, December 17, 2009

Hijrah

Perjalanan Rasulullah ditemani Abu Bakar,
penuh dugaan dan cabaran
demi islam,
demi umat seluruh alam...


sekumpulan pari-pari,
di lautan
sekumpulan burung,
di angkasa

bersama menuju ke sesuatu distinasi
yang diharapkan akan lebih baik
dalam kehidupan
yang akan datang...

Sunday, December 13, 2009

Teh Afifah - sabar dan redha!

Betapa sayu mata memandang
Sayu lagi hati didalam...

Tapi,
kita hanyalah merancang
Allah yang menentukan.
Setiap yang terjadi
pasti ada hikmah tersendiri.

Kita semua milikNYA,
kepadaNYA lah tempat kembali.

Semuga roh mereka yang pergi
akan berada ditempat yang terpuji,
insyaAllah.

AL-FATIHAH.

Friday, December 04, 2009

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

BICARA AGAMA


Popular Posts


uwais al qarni…

engkau hanya seorang insan biasa
dari kalangan bani yaman
disisimu tiada punyai nama
pangkat darjat mahupun kedudukan

setianya umar ali menanti satu harapan
kerna mengharap pengampunan
seperti mana yang telah dikhabarkan
oleh utusan rasul junjungan

keadaanmu dipandang hina
kerna berpakaian serba kedhaifan
namun begitu kau sentiasa melemparkan
pandanganmu ketempat sujudmu

wahai uwais.. kekasih allah
sunyinya namamu di dunia
tetapi terkenal namamu disana
sehingga rasul menyintaimu

beruzlah dirimu dari manusia
kerna ingin mengabdikan padanya
bagimu merasa aman bersamanya
bagaikan alam adalah dirinya…

Ya Allah,
malam hanya terasa indah
apabila berbisik denganMU,
siang hanya terasa indah
apabila mentaatiMu.

Tiada kelazatan dunia
kecuali dengan menyebut namaMU,
Dan akhirat tidak terasa indah
kecuali dengan beroleh kemaafan dariMu.

Juga syurga tidak terasa indah
kecuali dapat melihat-MU

munajat Yahya bin Muaz Ar-Razi