Peranan teman dan rakan adalah sangat penting dalam menentukan jenis seseorang itu. Rasulullah s.a.w. sentiasa mengingatkan hakikat ini dengan bersabda yang bermaksud:
"Seseorang itu mengikut agama temannya. Oleh yang demikian, hendaklah seseorang itu meneliti (memilih) sesiapa yang menjadi temannya". (Hadith Sahih)
Oleh yang demikian, seseorang yang inginkan sebuah kehidupan yang penuh bermakna, hendaklah mencari seorang teman yang dapat menyampaikan dirinya kepada sebuah makna kehidupan yang hakiki dan abadi.
Adapun bersahabat dengan golongan yang lalai daripada mengingati Allah s.w.t. dan lalai daripada menunaikan tanggungjawab kehambaan kepadaNya membawa kita kepada kelalaian jua. Hidup jika sekadar untuk kelalaian merupakan modal untuk mendapatkan kesengsaraan di akhirat kelak yang pasti datang.
Teman yang baik dan mengajak kita kepada Allah s.w.t. adalah teman yang akan bersama dengan kita di akhirat kelak dalam tautan persaudaraan kerana Allah s.w.t.. Adapun teman yang buruk dan sentiasa mengajak kita kepada kelalaian akan meninggalkan kita kesorangan dalam menghadapi kesusahan samada di dunia mahupun di akhirat kelak. Persahabatan tanpa dasar iman dan persaudaraan kerana Allah akan membawa kepada permusuhan dan penyesalan
-
No comments:
Post a Comment