Dimana sahaja kamu berada atau apa jua perkerjaan dan tugasan yang kamu lakukan, ingatlah Allah, ikhlaskan amal kamu, jaga batas-batas syariat.
Firman Allah : “ingatlah kepada-Ku, nescaya Aku ingat kepadamu.” (Al-Baqarah : 152)
Hati yang hidup adalah hati yang cinta kepada Allah. Segala pengamalannya, gerak kerjanya untuk mencari cinta Allah. Hati yang hidup adalah hati yang sentiasa melihat segala sesuatu , gerak diam di alam ini datang dari Tuhan. Mereka bersyukur dengan nikmat dan kebaikan, mereka sabar dan redha dengan musibah dan kejahatan. Mereka tidak pernah berputus asa dengan rahmat Allah, hati mereka teguh bagaikan pohon kayu yang kuat dalam keyakinan pada Allah, mereka bertawakal kepada Allah. Ingatlah, apabila kamu bertawakal bermakna kamu tidak bersendirian, seluruh tentera Allah di langit dan bumi menjadi penolongmu.
Wahai Anakku,
Mengutamakan kehidupan akhirat adalah melambangkan kecerdikan dan ketajaman mata hati. Orang yang buta mata tidak nampak keindahan dunia, mereka yang buta mata hati tidak dapat melihat keindahan akhirat. Cintamu pada akhirat membawa dirimu dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat. Dirimu akan tenang dan redha dengan apa ujian di dunia kerana bagimu dunia terlalu kecil untuk kamu tangisi kesusahannya dan terlalu kecil untuk kamu gembira dengan kenikmatannya….
Fahamilah wahai anakku,
Apa sahaja yang kamu lakukan adalah untuk menuju hakikat kehambaan yang hakiki. Apakah yang dimaksudkan kehambaan? Iaitu dirimu fakir, dan orang yang fakir adalah mereka yang tiada memiliki apa-apa pun pada dirinya. Jangan kamu terpedaya dengan ibadahmu kerana ibadahmu belum tentu diterimaNya. Jangan kamu terpedaya dengan ilmumu kerana ilmumu belum tentu dapat kamu amalkan. Jangan kamu terpedaya dengan duniamu dan apa yang kamu miliki kerana ia adalah milik Tuhan dan segala apa yang ada ditanganmu adalah diatas belas kasihan-Nya.
Ingatlah anakku,
Kamu adalah pengemis disisi Tuhan, engkau mengemis belas kasihan-Nya…
Petikan dari : Nasihat buat Anakku
Oleh : abu hubaib asy-syathari
-
1 comment:
trimo kaseh ayoh <3
wahai ayahku...nayah blik picit kaki deh ahaha ;p
Post a Comment