Pages

Tuesday, July 31, 2012

Renungan Ramadhan

ALHAMDULILLAH kita telah memasuki Ramadan yang baru, setelah beberapa kali Ramadan meninggalkan kita. Ramadan disebut saumun atau siaam yang bermaksud menahan diri.

Menahan diri bermaksud menjaga diri daripada melanggar perkara yang boleh membatalkan puasa malah menahan diri daripada semua perkara-perkara ‘lagha’.

Sebab itu Nabi Muhamad s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak boleh meninggalkan perkataan-perkataan palsu dan beramal dengan perkara-perkara palsu, maka Allah tidak berhajat padanya untuk berpuasa.”

Ramadan bulan yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya yang bermaksud “ Ya Allah, berilah keberkatan kepada kami dalam bulan Shaaban dan sampaikan kami, panjangkan umur kami sehingga tiba Ramadan.”

Hadis ini memberi makna Ramadan ditunggu dengan penuh lahap, dengan rasa kesyukuran untuk mengambil peluang dengan datangnya Ramadan ini menjadikan kita orang yang telah sampai kepada maksud bagi ibadat itu dengan menahan diri.

Dalam Islam boleh dikatakan semua ibadat-ibadat kukuh diberikan istilah yang amat sesuai dengan tujuan pensyariatannya.

Contohnya seperti solat, istilahnya bermaksud doa yang bermaksud memohon kepada Allah sungguh-sungguh agar kita menjadi hamba-Nya yang pergantungan kita hanya kepada Allah.

Sebab itu sembahyang diulang-diulang menjadi suatu hubungan yang intim dan kukuh antara manusia dengan Allah.

Zakat, istilah yang sama yang bermaksud penyucian bukan sahaja menyuci harta tetapi menyuci jiwa daripada yang tidak baik. Haji, sebagai contoh bermaksud niat yang bersih hendak mengunjungi rumah Allah bagi mencapai darjat keampunan yang paling tinggi.

Daripada zahir, puasa nampak seperti seolah-olah mendera diri. Walaupun dikatakan mendera diri, ia dilakukan kerana Allah. Dalam dunia ini ramai orang yang mendera dirinya.

Tetapi penderaan itu kerana dunia. Contohnya orang yang ingin menguruskan badannya, kena regim yang ekstrim. Hendak membina badan, kena latihan yang lasak, makanan yang dikawal. Selain itu, hendak pandai bermain kena berlatih bersungguh-sungguh, berbulan-bulan dan mungkin bertahun-tahun.

Kesemua ini dilakukan kerana tujuan keduniaan. Dunia yang fana, akhirnya semua akan ditinggalkan. Tetapi manusia tetap patuh dan utuh demi mencapai kehendak keduniaan.

Sedangkan puasa ianya dibuat kerana Allah. Dalam satu hadis qudsi Allah menyebut yang bermaksud: “Sesungguhnya puasa itu dilakukan untuk aku, dan akulah yang akan membalasnya.”
Puasa adalah medan latihan hakiki untuk mempertingkatkan daya tahan nafsu bagi melawan kehendak duniawi untuk mencapai tahap kekuatan rohani yang tinggi serta untuk mencapai darjah ketakwaan kepada Allah.

Inilah yang disebut dalam surah Al Baqarah ayat 183 yang bermaksud: “Diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti mana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum daripada kamu. Dengannya kamu akan bertakwa kepada Allah. Ketakwaan itu adalah matlamat yang paling tinggi.”

Oleh kerana itu puasa dilakukan kerana mentaati perintah Allah. Insan yang mentaati perintah Allah atau insan mukmin dan muslim, ada yang melakukan ketaatan itu secara paksa atau turut-turutan atau dilakukan dengan cara tidak bersemangat. Seperti didesak oleh satu pihak, tidak menjiwai amalan itu dengan hati yang benar-benar patuh kepada Allah.

Ibadah puasa ini untuk mencapai tahap ketakwaan dengan bersungguh-sungguh meninggalkan segala yang dilarang dan melakukan segala yang dituntut. Ramadan dikenali juga dengan Shahrul Maghfirah iaitu bulan keampunan.

Allah menyediakan peluang yang begitu terbuka untuk insan muslim mendapat keampunan Allah. Dalam satu hadis Nabi menyebut yang bermaksud: “Alangkah hairan dan ajaibnya bagi orang mukmin yang sempat sampai ke Ramadan, apabila habis Ramadan dia tidak mendapat peluang keampunan Allah”.

Ini juga disebut dalam hadis lain yang bermaksud: “Ramadan awalnya rahmah, dipertengahannya keampunan, dan diakhirnya membebaskan diri daripada api neraka.”
Rebutlah peluang ini untuk Allah selalu mengampuni dosa-dosa kita. Seolah-olah habis Ramadan, habislah dosa kita. Dengan syarat kita hayati Ramadan dengan disebut Ramadan Shahrul Quran.

Kalau Allah telah memilih Ramadan bulan turunnya Quran dan Quran itu menjadi hidayah dan petunjuk kepada manusia dan juga menjelaskan sejelasjelasnya mana yang Allah suruh, yang Allah redha. Mana yang Allah larang untuk dijauhi, yang disuruh untuk ditaati.

"Jadikan al-Quran petunjuk sepanjang zaman"
oleh : DR HARON DIN
dipetik dari Detikdaily
30 julai 2012

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

BICARA AGAMA

Popular Posts

uwais al qarni…

engkau hanya seorang insan biasa
dari kalangan bani yaman
disisimu tiada punyai nama
pangkat darjat mahupun kedudukan

setianya umar ali menanti satu harapan
kerna mengharap pengampunan
seperti mana yang telah dikhabarkan
oleh utusan rasul junjungan

keadaanmu dipandang hina
kerna berpakaian serba kedhaifan
namun begitu kau sentiasa melemparkan
pandanganmu ketempat sujudmu

wahai uwais.. kekasih allah
sunyinya namamu di dunia
tetapi terkenal namamu disana
sehingga rasul menyintaimu

beruzlah dirimu dari manusia
kerna ingin mengabdikan padanya
bagimu merasa aman bersamanya
bagaikan alam adalah dirinya…

Ya Allah,
malam hanya terasa indah
apabila berbisik denganMU,
siang hanya terasa indah
apabila mentaatiMu.

Tiada kelazatan dunia
kecuali dengan menyebut namaMU,
Dan akhirat tidak terasa indah
kecuali dengan beroleh kemaafan dariMu.

Juga syurga tidak terasa indah
kecuali dapat melihat-MU

munajat Yahya bin Muaz Ar-Razi